Produk Sesa

SESA UNJUR KAMPUNG BETANAK


Apa itu Sesa.


Sesa Unjur ialah udang laut (Payak) yang dikeringkan secara lurus (unjur). Maksudnya sesa unjur ialah 'udang kering lurus'. Sesa kampung Betanak pula dibuat daripada udang yang segar. Udang yang diperolehi oleh nelayan terus dikopek (dibuang kulit) sesampai sahaja di kampung. Payak tersebut tidak disimpan dalam peti ais, kerana jika payak itu sudah diaiskan boleh menyebabkan kualiti rasa sesa itu akan tawar. 




Kupas Tanjung


KUPAS ialah udang kering dalam bahasa Melanau. Tanjung pula adalah kedudukan kampung Betanak di Tanjung Sirik Pulau Bruit. Justeru itu jenama KupasTanjung untuk produk sesa kampung Betanak ini sangat sesuai. Udang Biang istilah melanau. Biang bermaksud meletakkan sesuatu sebelah/berdekatan api untuk tujuan pengeringan.




Proses Mikip Payak (buang kulit udang)

Udang yang sudah dibersihkan perlu dicelur dengan air panas dahulu bagi memudahkan kerja membuang kulitnya. Selain itu ia juga akan menambah liat isi udang tersebut. Proses membuang kulit udang ini biasanya dilakukan oleh budak-budak dan wanita-wanita. Mereka mengambil upah 50 sen sekung (berat 1/2 kg). Proses ini hanya mengambil masa lebih kurang 1 ke 2 jam bergantung dengan banyak udang dan ramai pekerja. Proses ini tidak boleh lama sangat kerana takut mutu udang akan terjejas. Jika tidak habis dalam tempoh itu udang ini akan dibuat 'empedik' (udang masin) atau di buat 'kelutuh' (udang salai dengan kulitnya). Hal ini kerana menjaga kualiti udang kampung betanak terjamin.



Menelad Payak (Menyusun udang)

Udang yang sudah dibuang kulitnya akan dibersihkan dengan air bersih berkali-kali. Selepas itu udang tersebut akan ditelad (disusun) di atas babat (dawai antikarat yang dibingkaikan). Proses menyusun udang ini agak rumit kerana ia mesti disusun berselang ekor dan kepala secara melunjur (diluruskan). Proses ini biasanya dilakukan oleh wanita atau kaum ibu yang sudah mahir dalam kerja menelad kupas ini. Upah menyusun satu bidang dawai udang  bersaiz 3X3 kaki ialah RM4.00. Seorang yang mahir mampu menyusun    satu bidang saiz tersebut selama 15-20 minit.







Membiang Kupas (Mroses Mengering Udang Dengan Api)

Selepas udang siap disusun di atas pengadang (babat) ianya akan di biangkan berdekatan dengan api yang menyala. Jarak antara api dengan babat tersebut ditentukan dengan besarnya nyalaan api tersebut. Ianya dijaga sepanjang masa untuk mengelakkan udang itu terbakar atau kering terlalu cepat.

udang dibiarkn kering

Udang dibiang dekat api

Udang sudah hampir kering atas babat

 Udah Sesa yang sudah cukup kering dan sedia untuk dimakan


Orang Melanau suka makan udang kering ini dengan Sago (dibuat dpd tepung lamantak@Rumbia)

Jenama KupasTanjung adalah udang sesa keluaran Kampung Betanak (Kualiti Terjamin)